Dalam dua hari lepas, penulis melawat mak saudara penulis di kampung. Sedang leka berborak-borak dengan sepupu dan saudara, penulis terpandang satu alat yang kelihatan agak canggih yang terletak di bucu dinding. Selepas bertanya kepada sepupu perihal alat itu, penulis difahamkan bahawa alat itu adalah terapi elektrostatik untuk menjaga kesihatan. Penulis belek-belek dan nampak la logo Al-Jabbar kat alat tu. Penulis dengan rasa terpaksa ingin tahu duduk di atas kerusi yang disediakan untuk mencuba sendiri keberkesanan alat ini. Adakah ia cuma indah khabar dari rupa? Atau adakah alat ini dapat menguruskan badan penulis yang dah makin tebal ni?
Lepas 5 minit yang pertama, penulis tak berasa apa-apa lagi.
Selepas 15 minit berlalu, penulis masih tidak berasa apa-apa. Penulis sudah mula berasa was-was. Boleh percaya ke alat ini?
Selepas 20 minit, penulis mula berasa lain macam. Jantung penulis mula berdegup kencang. Penulis hendak bangun tetapi dihalang kerana masih belum cukup 30 minit. Hendak dijadikan cerita, penulis tersentuh tangan sepupu penulis. Dengan tidak semena-mena, rasa seperti terkena kejutan elektrik. Adakah ini tandanya kami ada keserasian (chemistry)? Sebenarnya, renjatan elektrik itu datangnya daripada elektrik statik yang berkumpul di badan penulis. Lepas beberapa ketika, bulu roma, rambut dan beberapa bahagian lain yang berbulu juga terasa seakan-akan meremang.
Selepas 30 minit, akhirnya tamat satu sesi. Badan penulis dah mula rasa tak sedap. Esoknya, penulis terus demam 2 hari diselangi dengan berak-berak cair. Mak saudara penulis kata itu tandanya lemak dalam badan dah cair.
Jika ada yang berminat hendak menjaga kesihatan, silalah cuba produk ini. Penulis tak kata alat tu tak berkesan, tapi lepas penulis cuba sendiri, penulis lebih selesa untuk menjaga kesihatan dengan cara konvensional; bersenam dan menjaga pemakanan seharian. Lagipun, penulis tak mahu terkena renjatan elektrik setiap kali bersentuhan dengan orang lain (senyum).
0 komentar:
Catat Ulasan