Ahli politik merupakan antara golongan yang kerap berhujah dan menyampaikan pendapat mereka. Ada hujah mereka yang menyokong tindakan sesetengah pihak, ada juga yang menjustifikasikan tindakan yang mereka lakukan. Tidak kurang juga ahli politik yang membidas pihak yang lain dengan hujah-hujah mereka.
Biasanya ahli politik akan memberikan pernyataan di dada akhbar atau kaca televisyen. Apa yang melucukan, ada sesetengah kenyataan yang diberikan bercanggahan dengan peristiwa sebenar, bahkan ada juga pernyataan yang mempunyai hujah yang lemah. Penulis tidak bercadang mahu mengupas kebenaran disebalik setiap pernyataan tetapi menekankan cara berhujah yang betul dengan kaedah yang tepat.
Kita ambil satu contoh hujah yang biasa diucapkan oleh ahli politik berkaitan dengan keadilan oleh pihak SPR:
“Jika pihak SPR tidak berlaku adil, pastinya pihak pembangkang tidak akan menang di beberapa buah negeri ketika pilihanraya,”
Kita boleh huraikan hujah di atas dengan menggunakan modus ponens ‘Jika P maka Q. Sebenarnya Q, maka P. Dengan kata lain:
Premis A - Jika pihak SPR berlaku adil, pihak pembangkang akan menang di beberapa buah negeri ketika pilihanraya”
Premis B - “Sebenarnya pihak pembangkang menang di beberapa buah negeri ketika pilihanraya”
Kesimpulan – “Maka pihak pihak SPR berlaku adil”
Kaedah hujah di atas adalah betul, tetapi terkandung beberapa falasi di dalam hujah tersebut. Kita boleh gunakan pernyataan yang lain untuk menunjukkan huah yang sama seperti ini:
“Jika pihak pengadil bola sepak tidak berlaku adil, pastinya pasukan Malaysia akan kalah ketika bertanding dengan Taiwan malam tadi,”
Analogi yang digunakan di sini adalah proses pilihanraya adalah seperti permainan bola sepak; ada dua pihak yang bertanding, seorang pengadil dan juga peraturan-peraturan yang perlu diikuti oleh kedua-dua pemain sebelum memulakan perlawanan.
Akan tetapi, adakah pihak pengadil boleh dikatakan adil jika pihak Malaysia menang dalam perlawanan menentang Taiwan? Pastinya tidak. Jika pihak pengadil BETUL-BETUL berlaku adil, pastinya perlawanan antara pasukan Malaysia dan pasukan Taiwan akan berakhir dengan SERI.
Maka pernyataan yang tepat adalah:
“Jika pihak pengadil bola sepak berlaku adil, pastinya pasukan Malaysia akan SERI ketika bertanding dengan Taiwan malam tadi,”
Falasi yang timbul dalam pernyataan yang pertama (merujuk pihak SPR sebagai adil) adalah falasi jenis Ekuivokasi. Ini kerana penghujah menimpulkan bahawa keadilan SPR adalah bersamaan dengan kemenangan. Dengan kata lain:
Adil = Menang
Jika kita menggunakan logik yang sama sepertu yang disampaikan oleh penghujah, kita juga boleh membuat pernyataan seperti ini:
“Jika pihak SPR tidak berlaku adil, pastinya pihak kerajaan tidak akan menang di beberapa buah negeri ketika pilihanraya,”
Satu lagi falasi yang wujud adalah falasi jenis komposisi; iaitu membuat huraian secara keseluruhan (am) berdasarkan peristiwa/keadaan yang khusus.
Kemenangan pihak pembangkang di lima buah negeri berlaku ketika pilihanraya umum ke 12 (PRU12). Kemenangan itu tidak boleh dijadikan ukuran kepada keadilan pihak SPR. Ini kerana jika keadilan pihak SPR dinilai daripada kemenangan pihak pembangkang dalam pilihanraya, maka ia harus dinilai dalam SETIAP pilihanraya yang berlangsung sebelum ini, bukan setakat PRU12 sahaja.
Oleh itu, hujah pihak yang mengatakan bahawa keadilan pihak SPR berkaitan dengan kemenangan pihak pembangkang di lima buah negeri adalah hujah yang lemah dan tidak boleh dijadikan justifikasi untuk menentang perhimpunan BERSIH.
Penulis tidak berminat dengan politik. Penulis cuma mahu menjelaskan cara berhujah yang betul untuk mengelakkan dari berfikir dengan cara yang salah dan mencari kebenaran dalam berhujah.
0 komentar:
Catat Ulasan