Penulis suka membaca bahan bacaan yang agak berat dan memerlukan pemahaman yang mendalam. Penulis tidak gemar membaca bahan bacaan picisan seperti novel atau naskah drama swasta yang banyak bermain-main dengan emosi dan fiksyen. Penulis gemarkan bahan bacaan ilmiah yang mampu menyuntik ilmu pengetahuan baru dan menjentik-jentik medula oblongata supaya aktif berfikir dan membina pemahaman baru.
Baru-baru ini penulis membaca sebuah rencana bertajuk Biblical Nonsense. Penulis terjumpa laman web ini apabila penulis cuba mencari jawapan tentang Atheism, Theism, dan juga kebenaran tentang unsur ketuhanan.
Jangan salah sangka, penulis bukan hendak murtad atau mempersoalkan tentang kebenaran dalam agama, cuma penulis mahu tahu mengapa orang kristian sendiri menolak agama kristian yang dianutinya.
Penulis Biblical Nonsense ini Dr. Jason Long, adalah seorang lulusan sarjana dalam bidang psikologi dan banyak mempersoalkan tulisan dan kisah-kisah yang tercatat di dalam Bible (bukan Injil). Beliau banyak mempertikaikan hujah-hujah Apologist (pendakwah agama Kristian) dan menangkis falasi-falasi yang sering timbul apabila berdebat dengan Apologist. Untuk memahami unsur-unsur falasi yang dibangkitkan dalam buku ini, pembaca dinasihatkan untuk mempunyai pengetahuan asas dalam Pemikiran Kritis.
Dr. Jason Long menerangkan mengapa asas dalam agama Kristian adalah amat rapuh dan juga menunjukkan data bahawa 1% daripada penganut agama Kristian di Amerika keluar daripada Kristian atau tidak menganut sebarang agama setiap tahun. Buku ini menerangkan beberapa percanggahan fakta antara Bible dan sains. Secara jelas juga buku ini menerangkan tentang percanggahan fakta tentang teori evolusi dan penciptaan alam semesta.
Bahasa yang digunakan dalam buku ini adalah ringkas dan amat mudah difahami. Setiap penerangan diberikan contoh dan juga huraian yang komprehensif.
Walaupun pengarang buku ini kadang-kadang kelihatan seperti Atheis (tidak percaya kepada kewujudan tuhan) tetapi segala hujah yang disampaikan berkaitan dengan kewujudan tuhan tidak dapat dipertikaikan.
Biblical Nonsense merupakan bahan bacaan yang mungkin menggangu sensitiviti sesetengah pihak kerana ia berkaitan dengan keyakinan dan juga kesetiaan pada agama. Akan tetapi, jika ada pembaca yang mahukan pencarian dalam kebernasan berfikir (bukan kebenaran), Biblical Nonsense adalah antara bahan bacaan yang terbaik.
Nota: Penulis tidak tidur sepanjang malam untuk habiskan membaca Biblical Nonsense.
0 komentar:
Catat Ulasan