Reading Of The Day – Biblical Nonsense

Penulis suka membaca bahan bacaan yang agak berat dan memerlukan pemahaman yang mendalam. Penulis tidak gemar membaca bahan bacaan picisan seperti novel atau naskah drama swasta yang banyak bermain-main dengan emosi dan fiksyen. Penulis gemarkan bahan bacaan ilmiah yang mampu menyuntik ilmu pengetahuan baru dan menjentik-jentik medula oblongata supaya aktif berfikir dan membina pemahaman baru.

Baru-baru ini penulis membaca sebuah rencana bertajuk Biblical Nonsense. Penulis terjumpa laman web ini apabila penulis cuba mencari jawapan tentang Atheism, Theism, dan juga kebenaran tentang unsur ketuhanan.

Jangan salah sangka, penulis bukan hendak murtad atau mempersoalkan tentang kebenaran dalam agama, cuma penulis mahu tahu mengapa orang kristian sendiri menolak agama kristian yang dianutinya.

Penulis Biblical Nonsense ini Dr. Jason Long, adalah seorang lulusan sarjana dalam bidang psikologi dan banyak mempersoalkan tulisan dan kisah-kisah yang tercatat di dalam Bible (bukan Injil). Beliau banyak mempertikaikan hujah-hujah Apologist (pendakwah agama Kristian) dan menangkis falasi-falasi yang sering timbul apabila berdebat dengan Apologist. Untuk memahami unsur-unsur falasi yang dibangkitkan dalam buku ini, pembaca dinasihatkan untuk mempunyai pengetahuan asas dalam Pemikiran Kritis.

Dr. Jason Long menerangkan mengapa asas dalam agama Kristian adalah amat rapuh dan juga menunjukkan data bahawa 1% daripada penganut agama Kristian di Amerika keluar daripada Kristian atau tidak menganut sebarang agama setiap tahun. Buku ini menerangkan beberapa percanggahan fakta antara Bible dan sains. Secara jelas juga buku ini menerangkan tentang percanggahan fakta tentang teori evolusi dan penciptaan alam semesta.

Bahasa yang digunakan dalam buku ini adalah ringkas dan amat mudah difahami. Setiap penerangan diberikan contoh dan juga huraian yang komprehensif.

Walaupun pengarang buku ini kadang-kadang kelihatan seperti Atheis (tidak percaya kepada kewujudan tuhan) tetapi segala hujah yang disampaikan berkaitan dengan kewujudan tuhan tidak dapat dipertikaikan.

Biblical Nonsense merupakan bahan bacaan yang mungkin menggangu sensitiviti sesetengah pihak kerana ia berkaitan dengan keyakinan dan juga kesetiaan pada agama. Akan tetapi, jika ada pembaca yang mahukan pencarian dalam kebernasan berfikir (bukan kebenaran), Biblical Nonsense adalah antara bahan bacaan yang terbaik.

Nota: Penulis tidak tidur sepanjang malam untuk habiskan membaca Biblical Nonsense.

Monolog Seorang Rakyat Kelas Bawahan

Sebelum ini aku merupakan  golongan kelas pertengahan.

Makan mewah. Setakat KFC atau McDonalds setiap hari tu memang selalu sangat. Makan kat restoran Korea pun pernah. Maklumlah, duit sentiasa ada. Pendek kata kalau nak makan tak perlu tengok duit dalam wallet. Terus capai tangan dalam wallet, mesti ada duit.

Aku tak tak perlu pergi ATM setiap hari. Sekali kelurkan duit mesti ratus-ratus punya. Tak mainlah keluarkan duit RM100-RM200 ni. Paling minimum pun RM500 sekali keluar.

Sebelum ini aku ada kereta. Pendek kata semua tempat aku ronda. Tidak kira ke selatan atau utara; semua tempat aku teroka. Minyak dan tol tak perlu kira. Apa susah, Touch ‘n’ Go kan ada.

Duduk di Shah Alam sorang-sorang, tidak berkongsi. Tiada privacy. Kalau duduk sorang-sorang boleh buat sesuka hati. Tak perlu nak berkongsi kunci. Semua bill dan sewa rumah bayar sendiri. Tak perlu nak collect duit setiap kali hujung bulan; guna je CIMB. Pasang lagu kuat-kuat pun xde sapa nak maki. Pendek kata, duduk seorang kat rumah goyang kaki.

Tapi itu dulu. Sekarang aku cuma rakyat kelas bawahan.

Makan kena berkira. Kalau salah budget nanti tak cukup nak duit nak hidup sampai hujung bulan. Nak makan KFC? McD? Kenny Rodgers? Maybe bila hujung bulan bila dapat gaji.

Kereta dah takde lagi. Sekarang bas RapidKL jadi pengganti. Setiap hari kena tunggu bas seawal 9.00 pagi. Kalau terlewat, terpaksa la pergi kerja naik teksi. Miss lunch sebab duit lunch buat bayar tambang teksi.

Rumah pun kena berkongsi ramai-ramai. Dah kurang privacy. Satu rumah sampai 6-8 orang. Tidur pun ikut shift. Takpun tidur reramai kat depan ruang tamu sebab panas.

Sekarang aku cuba kembali menjadi rakyat pertengahan. Aku akan elakkan pembaziran dan cuba berjimat. Duit dan harta kekayaan bukan penjamin kebahagian. Sekarang aku sedar bahawa kedamaian hati dan ketenangan fikiran adalah jauh lagi penting daripada kemewahan dan keselesaan hidup.

Rezeki terpijak (literally)

Hari ini penulis pergi ke pasaraya di hadapan rumah. Sedang penulis asyik membelek-belek barangyang hendak dibeli, tetiba penulis terpijak satu not RM50 di bucu dinding.

Sudah kira rezeki ni.

Mulanya penulis agak takut juga untuk mengutipnya. Sebab takut ada kamera atau pun mungkin ini satu helah dalam siri Bang Bang Boom. Lepas memberanikan diri, penulis pun kutip not RM50 tu.

Penulis tak terus tengok duit tu. Penulis terus masukkan dalam kocek. Untuk sedapkan hati, penulis anggap bahawa duit tu adalah duit palsu. Ye lah, kalau duit RM10 boleh la tercicir. Kalau tercicir RM50, kes berat tu!

Sampai ke kereta, penulis belek-belek not tu. Memang not RM50 tulen. Dengan muka tidak bersalah, penulis lipat not tu dan simpan dalam wallet. Dalam kepala dah fikir nak makan lunch kat KFC..

Shocking News - Literally

shock

Dalam dua hari lepas, penulis melawat mak saudara penulis di kampung. Sedang leka berborak-borak dengan sepupu dan saudara, penulis terpandang satu alat yang kelihatan agak canggih yang terletak di bucu dinding. Selepas bertanya kepada sepupu perihal alat itu, penulis difahamkan bahawa alat itu adalah terapi elektrostatik untuk menjaga kesihatan. Penulis belek-belek dan nampak la logo Al-Jabbar kat alat tu. Penulis dengan rasa terpaksa ingin tahu duduk di atas kerusi yang disediakan untuk mencuba sendiri keberkesanan alat ini. Adakah ia cuma indah khabar dari rupa? Atau adakah alat ini dapat menguruskan badan penulis yang dah makin tebal ni?

Lepas 5 minit yang pertama, penulis tak berasa apa-apa lagi.

Selepas 15 minit berlalu, penulis masih tidak berasa apa-apa. Penulis sudah mula berasa was-was. Boleh percaya ke alat ini?

Selepas 20 minit, penulis mula berasa lain macam. Jantung penulis mula berdegup kencang. Penulis hendak bangun tetapi dihalang kerana masih belum cukup 30 minit. Hendak dijadikan cerita, penulis tersentuh tangan sepupu penulis. Dengan tidak semena-mena, rasa seperti terkena kejutan elektrik. Adakah ini tandanya kami ada keserasian (chemistry)? Sebenarnya, renjatan elektrik itu datangnya daripada elektrik statik yang berkumpul di badan penulis. Lepas beberapa ketika, bulu roma, rambut dan beberapa bahagian lain yang berbulu juga terasa seakan-akan meremang.

Selepas 30 minit, akhirnya tamat satu sesi. Badan penulis dah mula rasa tak sedap. Esoknya, penulis terus demam 2 hari diselangi dengan berak-berak cair. Mak saudara penulis kata itu tandanya lemak dalam badan dah cair.

Jika ada yang berminat hendak menjaga kesihatan, silalah cuba produk ini. Penulis tak kata alat tu tak berkesan, tapi lepas penulis cuba sendiri, penulis lebih selesa untuk menjaga kesihatan dengan cara konvensional; bersenam dan menjaga pemakanan seharian. Lagipun, penulis tak mahu terkena renjatan elektrik setiap kali bersentuhan dengan orang lain (senyum).